AM

Penyelarasan Pemeriksaan Di KLIA Terima Reaksi Positif, Pergerakan Penumpang Semakin Lancar

01/01/2026 10:24 AM

PUTRAJAYA, 1 Jan (Bernama) -- Penyelarasan pemeriksaan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang bermula hari ini menerima reaksi positif daripada pengembara, sekali gus melancarkan pergerakan di pintu masuk negara itu. 

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata berdasarkan tinjauan beliau di KLIA Terminal 1 awal pagi tadi, pengembara serta kru penerbangan berpuas hati dengan kelancaran pergerakan hasil inisiatif baharu yang dilaksana.

“Memang memudahkan penumpang. Ada juga kru penerbangan malam yang memberikan ‘thumbs up’ (isyarat bagus) kepada pegawai di lapangan.

“Alhamdulillah. Sasaran kita supaya pergerakan trafik di KLIA Terminal 1 lancar tercapai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerja-kerja pengalihan mesin pengimbas JKDM yang tidak lagi digunakan di pintu pelepasan juga berjalan lancar tanpa menjejaskan pergerakan penumpang di KLIA Terminal 1.

Sebelum ini, media melaporkan pemeriksaan JKDM terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu pelepasan KLIA Terminal 1 mulai hari ini.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan inisiatif baharu itu akan membolehkan penumpang melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas.

Semalam, JKDM memaklumkan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan kontraban bagi penumpang antarabangsa di KLIA Terminal adalah sebahagian daripada usaha mengoptimumkan aliran pergerakan trafik di lapangan terbang.

JKDM memaklumkan selaras dengan penyelarasan operasi yang telah dipersetujui, proses pengimbasan keselamatan di pintu pelepasan Terminal 1 KLIA dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports mengikut fungsi dan piawaian keselamatan penerbangan awam yang ditetapkan.

Menurut JKDM, pendekatan itu memperkukuh kerjasama operasi antara kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dan AVSEC melalui kaedah pengimbasan berasaskan petunjuk risiko, risikan serta analisis trend semasa.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507834