KOTA KINABALU, 31 Dis (Bernama) -- Tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus maju dengan keazaman yang kuat dan semangat kebersamaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan lebih cerah dan berdaya saing untuk negeri itu.
"Mengimbau kembali tahun 2025, ia adalah tahun yang baik, dibina atas asas pembangunan yang kukuh dan kemajuan konsisten melalui pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
"Kerajaan negeri meneruskan landasan ini menerusi Hala Tuju SMJ 2.0, dengan mengukuhkan komitmen kami terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif, agar kemajuan yang dicapai dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah," katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2026 hari ini.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan untuk terus memimpin negeri ini, sambil menyifatkan kepercayaan dan sokongan itu sebagai satu amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
"Dengan mandat baharu ini, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik yang berterusan dan memacu pembangunan komprehensif untuk kesejahteraan rakyat," katanya.
Hajiji berkata sepanjang lima tahun lepas, usaha berterusan untuk mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang kondusif telah membuahkan hasil yang ketara dan memberi manfaat kepada negeri.
Beliau turut berharap semua rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.
“Bersama-sama rakan Jemaah Menteri negeri, saya dengan penuh keikhlasan mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada semua,” katanya.
-- BERNAMA