KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2026 dengan semangat kebersamaan kukuh dan tekad jitu untuk terus memperkukuh perpaduan.
Menerusi mesej tahun baharu yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengajak semua rakyat untuk bersama memaknai reformasi secara berterusan, serta memastikan kemakmuran negara dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
“Marilah kita bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad, untuk menjayakan Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan demi mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi serta memastikan kemakmuran yang inklusif untuk rakyat keseluruhannya,” kata beliau.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah, keberanian dan ihsan serta beriltizam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjamin masa depan negara yang lebih terjamin dan sejahtera.
Dalam mesej itu juga, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan kesejahteraan negara kekal terpelihara.
“Semoga tahun 2026 ini menjadi tahun yang lebih cemerlang serta bermakna buat kita seluruh rakyat Malaysia. Saya dan Azizah mendoakan agar negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA