KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Mangsa banjir di Johor dan Pahang semakin berkurangan sementara di Melaka kekal setakat 4 petang tadi.
Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Segamat menurun kepada 82 orang daripada 26 keluarga berbanding 172 mangsa daripada 58 keluarga pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata lima pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup bermula 2 petang tadi, dengan dua PPS masih beroperasi di daerah itu iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Serbaguna Kampung Tasek.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin berkurang sedikit kepada 81 mangsa daripada 21 keluarga, berbanding 84 mangsa daripada 23 keluarga pada pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk berkenaan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Setajam.
Dalam pada itu, Sekretariat JPBN Melaka memaklumkan jumlah mangsa banjir di Jasin, MELAKA kekal 36 orang daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, petang ini.
-- BERNAMA