JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Johor membuat pengumuman itu menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Johor. Hilang jawatan Menteri Besar pun saya, letak jawatan pengerusi PN lagilah saya suka,” katanya.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi PN pusat berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Dr Sahruddin dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada April 2019, sebelum digantikan dengan Datuk Hasni Mohammad pada 28 Feb 2020.
Sementara itu, Dr Sahruddin ketika dihubungi Bernama berkata peletakan jawatannya itu, dibuat susulan langkah sama yang diambil Muhyiddin pada peringkat pusat.
Beliau berkata secara lazim jawatan Pengerusi PN pada peringkat negeri akan ditentukan oleh Pengerusi PN pusat, dan Dr Sahruddin berpendapat adalah wajar untuk beliau turut meletak jawatan.
“Jawatan ini satu amanah dan kita harus taat kepada pemimpin.
“Apa yang pasti, PN Johor tidak mempunyai sebarang masalah atau pergolakan. Malah, kami baru sahaja bermesyuarat pada awal bulan lepas,” katanya.
Pada masa ini, Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri Johor dengan 40 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) 13 kerusi dan PN tiga kerusi.
Daripada tiga kerusi PN itu, dua dimenangi Bersatu dan satu oleh PAS.
-- BERNAMA