KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 menyaksikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berdiri sebagai sebuah institusi ilmu yang bukan sahaja ampuh dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi turut menginovasikan penyelesaian lestari demi manfaat insan dan kesejahteraan sejagat.
Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata antara pencapaian besar adalah kejayaan graduan UTM dengan 100 peratus kadar kebolehpasaran dan kebolehkerjaan serta 21.6 peratus kadar gaji premium.
”Graduan kita terus membuktikan bahawa pendidikan UTM melahirkan insan yang bersedia menyumbang kepada negara dan dunia.
“Lebih membanggakan, dua alumni kita tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia, mengukuhkan lagi reputasi UTM sebagai medan lahirnya teknokrat global yang berdaya cipta dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada peringkat antarabangsa, beliau berkata kedudukan UTM dalam QS World University Rankings meningkat secara signifikan daripada 188 pada 2024 dan 181 (2025) kepada 153 (2026), sekali gus meletakkan UTM dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
Mohd Shafry berkata peningkatan itu hasil pengukuhan reputasi akademik, peningkatan hasil penyelidikan dan kemasukan pelajar antarabangsa yang semakin memberangsangkan, disokong kerja berpasukan warga universiti dan rakan industri.
Beliau berkata UTM juga memperkukuh agenda “Translational Research”, iaitu penyelidikan yang hidup dalam realiti masyarakat.
Mohd Shafry berkata melalui produk spin-off dan penyelidikan, UTM melahirkan pelbagai inovasi seperti DERMAGs Skin Solution, Natural Kiss, IHBS, iBreath, Oil2Wang, ROV Pleco, Inspecto dan JAGA Drone yang bukan sahaja mendekatkan universiti dengan komuniti, malah membina ekosistem inovasi lestari.
Dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang pula, UTM memperkukuh pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa melalui pembelajaran yang lebih global, autentik dan berteraskan nilai adab.
“Atribut graduan UTM, iaitu pemikiran global, kewargaan konstruktif, bakat inovatif, minda keusahawanan, kesarjanaan dan rasa tanggungjawab yang diterjemahkan dalam kurikulum, latihan industri, mobiliti antarabangsa dan program komuniti,” katanya.
Beliau berkata tahun ini juga menyaksikan UTM terus menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) melalui Fakulti AI serta pelbagai inisiatif seperti Malaysia AI Consortium (MAIC), kerjasama dengan Huawei, Alibaba dan Zhejiang University, pembangunan standard program AI yang diluluskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta program pembangunan bakat AI untuk industri dan sektor awam.
Memandang ke hadapan, Mohd Shafry berkata universiti itu menerusi UTM ASCEND 2030 akan berusaha meningkatkan impak global melalui empat teras utama, iaitu lonjakan kebitaraan, bakat global, kelestarian dan kemampanan serta kemanusiaan dan kesejahteraan.
Antara sasaran besar yang ditetapkan ialah Top 100 QS, 300,000 pelajar sepanjang hayat, 30 peratus pengurangan jejak karbon serta 70 projek penyelidikan yang memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA