KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Sebarang keputusan atau pendirian atas nama Perikatan Nasional (PN) bukan hak mutlak mana-mana parti gabungan itu secara unilateral, tegas tiga sayap pemuda komponen PN.
Susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, wakil pemuda Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menegaskan sebarang keputusan yang dibuat atas nama gabungan itu mesti dirujuk, dibincangkan dan diputuskan melalui Majlis Tertinggi PN.
Ketua Armada Bersatu Hilman Idham, Ketua Pemuda Nasional Gerakan Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP Justin Prabakaran dalam kenyataan bersama, berkata ia selaras dengan peruntukan Fasal 13 Perlembagaan PN.
“Walaupun semua parti komponen berhak menyatakan pandangan masing-masing, pendirian PN hendaklah diputuskan secara konsensus bersama semua parti komponen.
“Kami menggesa kepimpinan di semua peringkat mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pusat berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata hubungan politik antara parti itu dengan Bersatu perlu dinilai semula tanpa menggunakan emosi atau kepentingan sempit, tetapi berdasarkan realiti politik semasa demi kebaikan jangka panjang parti dan rakyat.
Beliau menegaskan, mengambil kira prestasi Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya yang menunjukkan kemerosotan sokongan serta dilihat bergantung kepada kekuatan PAS, selain tuntutan kerusi dan pengaruh yang tidak seimbang dengan sumbangan sebenar, adalah bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan.
“Pendakwaan dan siasatan terhadap pimpinan utama Bersatu memberi kesan negatif kepada PN. Walaupun PAS tidak terlibat, persepsi rakyat melihat gabungan ini sebagai satu entiti. PAS tidak seharusnya terus berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada parti lain sehingga merugikan masa depan perjuangan sendiri.
“Kerjasama politik dibenarkan selagi ia membawa maslahat. Memutuskan atau menilai semula hubungan politik adalah sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah. ‘Pengkhianatan’ dan ‘tikam kawan’ yang berlaku baru-baru ini menyedarkan kita semua betapa pentingnya elemen kejujuran dan kesetiaan bagi merealisasikan matlamat perjuangan bersama,” katanya.
-- BERNAMA