EKONOMI

Pemergian Madeline Berma Dirasai Ahli Ekonomi, Alumni UKM

30/12/2025 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) --  Pemergian penganalisis ekonomi Prof Datuk Dr Madeline Berma hari ini turut dirasai oleh ahli ekonomi dan warga akademik, serta alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita pemergian Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak itu turut dikongsi oleh Pusat Perhubungan Alumni UKM dan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sambil menzahirkan salam takziah, Noor Azlan yang juga bekas Naib Canselor UKM menyifatkan pemergian tokoh berkenaan merupakan satu kehilangan memandangkan mendiang merupakan seorang ahli akademik yang sangat menjiwai perjuangannya.

"Saya kehilangan seorang sahabat dan sarjana yang memperjuangkan kehidupan insan, khususnya dalam membasmi kemiskinan.

"Besar sumbangannya kepada negara. Mendiang pesara akademia UKM dan juga alumni UKM yang dihormati," kata beliau menerusi hantaran yang dimuat naik kira-kira 2 petang tadi.

Alumni UKM turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

"Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi dugaan ini," menurut hantaran itu.

Madeline, 67, menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di UKM pada 1982 dan kemudiannya menamatkan pengajian Sarjana Sastera di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat pada 1986.

Mendiang kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dari University of Hull, England, pada 1997. 

Madeline menerima penghargaan yang tinggi untuk pengalaman akademiknya selama 35 tahun, malah pernah memegang pelbagai jawatan sepanjang khidmatnya di UKM termasuk memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dari 2011 hingga 2016.

Madeline juga dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2019 dan merupakan Felo Akademi Sains Malaysia dan Felo Kehormat di Institut Masa Depan Malaysia.

Penyelidikan dan penerbitan beliau banyak mengkhusus dalam bidang ekonomi pembangunan merangkumi kemiskinan, ketidaksamaan, pembangunan luar bandar, pembangunan wanita dan masyarakat terpinggir. 

Mendiang juga dianugerahkan dengan Pingat Ahli Bintang Kenyalang (ABK), anugerah khas Wanita Sarawak dalam Pendidikan dan Tokoh Wanita sempena Hari Pekerja (CUEPACS).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2507310