BUKIT MERTAJAM, 30 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki direman lima hari untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan cubaan membunuh dengan melanggar seorang lelaki dalam insiden di Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Perai di sini, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata suspek berusia 31 tahun bersama isterinya berusia 23 tahun ditahan semalam, selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada 3.43 pagi.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 28 Dis, kira-kira 11.30 malam ketika mangsa bersama isterinya sedang memandu menuju ke arah Penang Sentral.
“Setibanya di plaza tol berkenaan kenderaan mangsa yang dipandu isterinya mengalami masalah di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) menyebabkan palang tol tidak terbuka.
“Mangsa kemudian turun untuk meminta pemandu kenderaan jenis Proton X50 di belakangnya supaya mengundurkan kenderaan bagi memberi ruang kenderaan mereka mengundur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Helmi berkata suspek bertindak menengking lelaki itu sebelum memecut kenderaannya dan merempuh individu berkenaan serta bahagian belakang kenderaannya lalu melarikan diri dari tempat kejadian.
Beliau berkata akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan serta sakit di beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT telah menahan pasangan suami isteri itu, dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif ganja, manakala lelaki itu turut didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah.
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan reman selama lima hari hingga 3 Jan depan terhadap suspek lelaki yang juga seorang peniaga bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sebuah kenderaan jenis Proton X50 yang digunakan suspek semasa kejadian turut dirampas.
-- BERNAMA