GAYA HIDUP

Tempok, Simbol Identiti Masyarakat Orang Asli

29/12/2025 12:49 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kelincahan jemari Linda Angik menganyam daun kelapa untuk menghasilkan tempok, iaitu aksesori kepala masyarakat Orang Asli, mencuri tumpuan pengunjung Festival Irama Asli & Asal 2025, di sini baru-baru ini.

Dalam tempoh kira-kira 10 minit, wanita berketurunan suku kaum Temiar itu berjaya menyiapkan sebuah tempok dengan teknik yang mudah.

Linda, 50, berkata proses pembuatan bermula dengan dua helai daun yang disilang membentuk huruf X sebelum dilipat menjadi bentuk V, diselit ke bahagian tengah dan disambung satu demi satu helaian sehingga membentuk lilitan kepala.

pic-2

Katanya gerakan tangan yang teratur dan berulang itu memperlihatkan ketelitian seni anyaman tradisional yang masih diamalkan dalam komuniti Orang Asli.

Dia yang mula membuat tempok ketika berusia 20 tahun, berkata aksesori itu boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai tumbuhan semula jadi seperti daun kelapa, mengkuang dan daun hutan lain, bergantung pada kesesuaian bahan serta rekaan yang diinginkan.

“Setiap daun akan diambil, diraut dan dibersihkan supaya pemakainya tidak mengalami kegatalan. Apa yang kami tunjukkan hari ini ialah cara pembuatan tempok yang paling mudah.

pic-3

“Tempok yang ringkas lebih mudah diajar, manakala rekaan lebih rumit memerlukan kemahiran yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Namun, di sebalik anyaman daun dan perhiasan semula jadi, tempok yang juga dikenali sebagai tanjak membawa makna lebih besar daripada sekadar aksesori kepala kerana ia menjadi penanda identiti masyarakat Orang Asli di Semenanjung yang semakin terhakis oleh arus pemodenan.

Naib Presiden Persatuan Sekutu Orang Asli (Native Allies) Hanim Apeng berkata pemakaian tempok merupakan simbol yang membezakan komuniti Orang Asli daripada masyarakat luar, selain mencerminkan kepelbagaian 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung.

pic-4

“Ini adalah identiti masyarakat kami. Kami membawa identiti itu dengan memakai tempok atau tanjak yang bersifat simbolik, tidak kira apa jua reka bentuknya kerana ia bergantung pada kreativiti individu, kebiasaan setiap suku kaum serta penggunaan bahan semula jadi dari hutan,” katanya.

Beliau berkata dalam amalan tradisional, pemakaian tempok adalah satu kemestian apabila berada di luar rumah, malah pada zaman dahulu ketua kampung hanya menanggalkannya ketika tidur.

Namun, Hanim yang juga usahawan kraf tangan berkata perubahan zaman menyebabkan amalan itu semakin jarang dipraktikkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

pic-5

“Ramai anak-anak muda kita tidak lagi mengamalkan pemakaian aksesori ini. Sebab itu kami perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa ini satu kewajipan kerana ia membezakan kami dengan masyarakat luar,” kata pengasas Asli Mak Intan Enterprise itu.

Sehubungan itu, Hanim berkata setiap ahli komuniti Orang Asli seharusnya mengetahui asas pembuatan tempok, walaupun dalam bentuk paling ringkas, sebagai usaha memastikan warisan itu terus diwarisi.

“Kami cuba mengajar anak-anak muda supaya sentiasa belajar benda-benda ini. Jika tiada pelapis, seni dan kraf ini boleh pupus,” katanya yang turut berharap lebih ramai anak muda berminat mewarisi seni kraf dan menceburkan diri sebagai usahawan kraf tangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506891