GAYA HIDUP

Gusar Hilang Ditelan Zaman, Jurumasak Wariskan Resipi Nasi Gaul Banjar Kepada Anak

29/12/2025 11:41 AM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 29 Dis (Bernama) -- Nasi gaul yang suatu ketika dulu menjadi hidangan utama di kenduri dan keramaian suku Banjar kini kian sukar dijumpai, menimbulkan kegusaran Mohd Ariffin Ibrahim masakan tradisional komuniti asal Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia itu akan pupus ditelan arus masa. 

Mengambil inisiatif bagi memastikan kelangsungan resipi turun-temurun keluarganya, tukang masak dari Kampung Parit Lahak itu menurunkan ilmu kepada anak keempatnya, Nursyahira Hanis, 27, yang kini bekerja sebagai cef di Johor Bahru.

“Nasi ini sudah jarang disediakan, mungkin kerana penyediaannya agak rumit dan memerlukan ketelitian,” kata lelaki berusia 60 tahun itu kepada Bernama.

pic-2

Menurut Mohd Ariffin, nasi gaul dinamakan sedemikian kerana hidangan itu dimakan dengan cara menggaulkan nasi bersama-sama dengan acar Banjar yang diperbuat daripada hirisan timun, tomato, bawang, lada dan belacan bakar.

“Nasi ini dihidangkan dengan lauk ayam atau daging rebus berserta kuah dalca. Cara membuatnya agak renyah, bermula dengan beras basmati ditanak dalam air rebusan sama ada ayam, daging atau kambing, dan menggunakan rempah-ratus serta susu,” katanya.

pic-3

Dia berkata disebabkan itu juga nasi berkenaan kini hanya dihidangkan di acara-acara tertentu, sekali gus menyukarkan generasi muda khususnya, mengenali masakan warisan tersebut.  

Mohd Ariffin yang berkemahiran menyediakan nasi tersebut berkata dia juga hanya menyediakan hidangan berkenaan sekiranya ada tempahan. 

“Dulu nasi ini cukup popular dalam kalangan komuniti Banjar yang tinggal di Johor, Selangor dan Perak,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506863