AM

Enam Penempatan Orang Asli Di Kelantan Dikategori "Hot Spot" Bencana

27/12/2025 07:14 PM

GUA MUSANG, 27 Dis (Bernama) -- Enam penempatan Orang Asli dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berdepan bencana susulan hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut yang melanda ketika ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata lokasi yang diklasifikasikan sebagai kawasan “hot spot” itu melibatkan Pos Lebir, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Simpor dan Pos Gob.

Beliau berkata taburan hujan yang kerap dan melebihi paras biasa telah menjejaskan kestabilan tanah sekali gus meningkatkan risiko berlakunya bencana alam di kawasan berkenaan.

“Cuaca hujan berterusan sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh, jalan perhubungan terputus akibat limpahan air sungai serta kerosakan struktur jalan.

“Situasi ini memberi kesan langsung terhadap aktiviti harian dan pergerakan penduduk Orang Asli di kawasan terlibat,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Faedzyal berkata pihaknya sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli, khususnya di kawasan pedalaman, terus terpelihara.

Beliau berkata JAKOA turut menyalurkan bantuan makanan serta keperluan asas kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh bencana.

Pada masa sama, beliau menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya sentiasa berwaspada dan bergerak secara berkumpulan sekiranya perlu menjalankan sebarang aktiviti di kawasan hutan.

Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka menyebabkan banjir di beberapa jajahan di Kelantan bermula semalam hingga 30 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506618