Daripada Chiang Hee Tze
BEIJING, 28 Dis (Bernama) -- Sejak sekian lama, banyak pemandu meragui kemampuan kenderaan elektrik (EV) untuk menandingi keterujaan dan pengendalian kereta konvensional. Namun, model berprestasi tinggi Xiaomi SU7 Ultra kini membuktikan bahawa keraguan itu ternyata salah.
Dalam sesi pandu uji baru-baru ini, SU7 Ultra mempamerkan pecutan yang mengagumkan, pengendalian yang cekap, dan aliran kuasa yang lancar, sekali gus membuktikan bahawa EV keluaran Xiaomi mampu menyaingi kereta sport dari segi prestasi dan ketepatan.
SU7 Ultra ialah model prestasi utama dalam barisan kenderaan elektrik pertama Xiaomi, siri SU7. Dibangunkan daripada prototaip SU7, kereta ini merupakan sedan elektrik berprestasi tinggi yang memfokuskan penggunaan di litar.
Kereta berkenaan dilengkapi dengan sistem tri-motor all-wheel-drive yang menghasilkan output maksimum 1,548PS, digandingkan dengan badan kereta daripada gentian karbon yang ringan, serta casis dan sistem suspensi yang direka khas untuk pemanduan berprestasi tinggi.
Menurut Xiaomi, satu daripada objektif utama reka bentuk SU7 adalah untuk menawan litar paling mencabar di dunia termasuk Nürburgring di Jerman.
Malah, prototaip kenderaan itu telah mencatat rekod pusingan baharu bagi kategori kereta empat pintu di Nürburgring. Data prestasi menunjukkan bahawa SU7 Ultra mampu memecut dari 0–100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 1.98 saat, 0–200 km/j bagi tempoh 5.86 saat, dengan kelajuan maksimum direka hingga 350 km/j.
Pada awal Disember, organisasi media asing termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melawat kilang EV Xiaomi di Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Beijing (Beijing E-Town), menyaksikan persekitaran pengeluaran yang sangat automatik, dengan lebih 700 robot bekerja dalam penyelarasan yang lancar.
Kemudahan bersepadu ini menyatukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan, ujian dan operasi penghantaran di bawah satu bumbung, sekali gus memperlihatkan pendekatan integrasi vertikal dalam pengeluaran EV.
Pelawat turut mendapat pemahaman mendalam tentang keupayaan R&D syarikat berkenaan, barisan pengeluaran automatik, litar ujian di lapangan, yang menunjukkan bagaimana Xiaomi mengekalkan kualiti yang konsisten sambil meningkatkan kecekapan dan output.
Bernama juga melihat bilik pameran teknologi yang memaparkan perjalanan pembangunan Xiaomi dan langkah strategik memasuki sektor EV, termasuk komponen utama kenderaan seperti powertrain, casis dan struktur badan kenderaan.
Sistem HyperOS turut ditunjukkan, menonjolkan ekosistem pintar Human × Car × Home syarikat itu yang membolehkan pemandu mengawal peralatan rumah pintar, memantau kamera keselamatan rumah dan mengurus peranti yang bersambung terus dari kenderaan – contoh utama keupayaan integrasi merentas platform Xiaomi.
Selain itu, pelawat berpeluang melihat dengan lebih dekat variasi EV Xiaomi termasuk SU7, SU7 Max, SU7 Ultra dan model yang baru dilancarkan, YU7, sebelum meninjau bengkel pemasangan. Demonstrasi proses automasi tinggi itu menunjukkan bagaimana Xiaomi mencapai pengeluaran kenderaan berskala besar dalam tempoh yang singkat.
Lawatan itu diakhiri dengan sesi pandu uji SU7 Ultra di litar kilang, memberikan pengalaman secara langsung akan prestasi, pengendalian dan sistem dalaman kenderaan berkenaan.
Dengan mendedahkan fasiliti EV kepada media Asia Tenggara, Xiaomi mengetengahkan komitmen untuk memacu aspirasi EV global dan peluasan strategik syarikat itu melangkaui elektronik pengguna.
SU7 membuat penampilan pertama di Malaysia pada Oktober tahun lepas menerusi pameran di Suria KLCC, Kuala Lumpur, yang menarik perhatian orang ramai dan peminat teknologi.
Kenderaan elektrik Xiaomi buat masa ini tidak dijual di luar China, namun syarikat itu bersedia meluaskan pasaran di luar negara, dengan rancangan memasuki pasaran antarabangsa pada 2027, bermula di Eropah.
Daripada perspektif serantau, Malaysia menawarkan kelebihan tersendiri untuk pembangunan EV, dengan Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan Thailand ke Singapura, sekali gus menjadi lebih raya bertol terpanjang di rantau ini.
Rangkaian lebuh raya di Malaysia yang luas ini memberikan tumpuan kepada kestabilan, kuasa dan ciri bantuan pintar EV bagi perjalanan yang jauh, selain menyediakan platform untuk mempamerkan teknologi dan membina keyakinan pengguna terhadap prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan.
Bayangkan memandu SU7 Ultra di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan – akan menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pemilik EV, namun pemandu diingatkan untuk mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan.
-- BERNAMA