KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Hasrat Sabah FA untuk menamatkan kempen Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 tanpa kalah tidak kesampaian selepas tewas tipis kepada Selangor FC 0-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.
Sabah yang telah pun mengesahkan kejuaraan saingan bola sepak wanita tempatan itu, ketinggalan pada minit ke-19 apabila ketua pasukan Selangor Nur Ainsyah Murad melepaskan rembatan deras untuk meletakkan pasukan lawan di depan.
Sabah berpeluang menyamakan jaringan namun sepakan percuma ketua pasukan Win Theingi Tun hinggap di palang Selangor pada minit ke-34 dan kedudukan tersebut kekal hingga babak pertama tamat.
Bersambung babak kedua, Selangor hampir menambah jaringan namun sepakan percuma pemain tengah Jang Bojeong tersasar di sebelah kiri gawang Sabah pada minit ke-50.
Peluang terbaik Sabah pada separuh masa kedua hadir di penghujung perlawanan namun percubaan dari sebelah kanan oleh pemain tengah Haindee Mosroh ditepis keluar penjaga gol Selangor Daiyana Wardina Mohd Rosdi pada minit ke-88.
Keputusan tersebut menyaksikan rekod tanpa kalah mereka akhirnya lebur pada perlawanan terakhir musim ini dan menoktahkan kempen kali ini dengan 37 mata selepas 14 perlawanan.
Selangor pula mengesahkan status selaku naib juara LWN 2025 dengan mengumpul 34 mata.
-- BERNAMA