PASARAN

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan Berikutan Musim Cuti

27/12/2025 10:22 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan berikutan musim cuti terus menjejaskan aktiviti pasaran, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kebanyakan pemangkin makroekonomi dan korporat telah ditetapkan harganya, peningkatan akhir tahun diunjurkan akan kehilangan momentum, manakala volum dagangan akan kekal lemah (rendah).

Beliau berkata pasaran akan ditutup pada Khamis untuk cuti Tahun Baharu dan sesi dagangan pada Jumaat dijangka tidak berubah.

“Walaupun begitu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada di landasan betul untuk ditutup pada paras atas 1,643, sekali gus memberikan hasil positif pada 2025.

"Ini adalah kali pertama selepas tempoh pandemik, pasaran mencatatkan keuntungan dua tahun berturut-turut, mengukuhkan pandangan bahawa pasaran ekuiti Malaysia telah bergerak ke landasan struktur yang lebih kukuh," katanya kepada Bernama.

Imbas kembali, Bursa Malaysia ditutup minggu ini lebih rendah sedikit dalam persekitaran aktiviti pengambilan untung, mengakhiri kenaikan lima hari berturut-turut.

Indeks penanda aras mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir 16 bulan, ditutup pada 1,678.31 pada Rabu.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 11.20 mata kepada 1,677.10 daripada 1,665.90 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 55.06 mata kepada 12,288.14, Indeks FBMT 100 naik 59.92 mata kepada 12,090.67, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 79.91 mata kepada 12,105.61, Indeks FBM ACE menambah 44.91 mata kepada 4,859.79, bagaimanpun Indeks FBM 70 turun 10.62 mata kepada 16,802.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 66.63 mata kepada 19,628.38, Indeks Perladangan naik 8.36 mata kepada 8,299.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit 3.64 mata kepada 174.03, manakala Indeks Tenaga menambah 3.21 mata kepada 765.77.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 7.96 bilion unit bernilai RM6.79 bilion daripada 12.77 bilion unit bernilai RM12.07 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 4.64 bilion unit bernilai RM6.16 bilion berbanding 6.85 bilion unit bernilai RM10.95 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.30 bilion unit bernilai RM236.07 juta daripada 4.45 bilion unit bernilai RM566.59 juta seminggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 1.01 bilion unit bernilai RM385.43 juta daripada 1.47 bilion unit bernilai RM544.20 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506502