PASARAN

Pasaran Getah Dijangka Perlahan Dengan Sedikit Kenaikan Minggu Depan

27/12/2025 10:46 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pasaran getah dijangka perlahan dengan kecenderungan untuk bergerak lebih tinggi minggu depan, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata walaupun hujan berterusan menghalang pengeluaran getah, tiada kebimbangan terhadap kekurangan dan ketidaktentuan dalam bekalan, permintaan dan harga. 

“Boleh dikatakan bahawa tahun ini dilihat lebih stabil dari segi penawaran dan dinamik permintaan.

“Walaupun bekalan berjaya dibendung pada tahap tertentu, kesedaran pengguna untuk menyimpan sedikit bagi berdepan dengan tempoh tengkujuh adalah penting dalam menstabilkan bekalan dan permintaan,” katanya kepada Bernama. 

Selain itu, Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan Monsun Timur Laut yang agak kuat di Teluk Thailand, selatan Thailand dan Laut Andaman, yang akan membawa hujan lebat tetapi terpencil hingga sangat lebat di wilayah selatan. 

Sementara itu, bagi Jabatan Meteorologi Malaysia, beliau berkata amaran hujan berterusan peringkat amaran telah dikeluarkan untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. 

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada 24 Disember dan 25 Disember sempena malam Krismas dan Hari Krismas. Dagangan bersambung semula pada 26 Dis, 2025.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 20.5 sen kepada 743.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot satu sen kepada 574 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506498