KOTA TINGGI, 27 Dis (Bernama) -- Seorang pesara berusia 60 tahun kerugian RM212,000 selepas menjadi mangsa penipuan perniagaan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata lelaki tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada semalam.
Beliau berkata kejadian berlaku apabila mangsa telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Dis lepas, yang menawarkan barangan elektrik, komputer, pakaian dan lain-lain dengan harga murah untuk dijual semula di aplikasi disediakan suspek.
“Mangsa telah membuat beberapa transaksi wang ke dalam satu akaun milik suspek sebelum menyedari dirinya ditipu apabila nombor telefon suspek disekat dan gagal dihubungi.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Yusuf menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran yang mengelirukan, terutamanya secara dalam talian.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, beliau berkata orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar daripada akaun suspek.
-- BERNAMA