GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Dua lelaki melecur selepas bot yang sedang diselenggara tiba-tiba terbakar dalam kejadian di kawasan parkir darat di Jalan Pasir Belanda, Teluk Kumbar, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah hari sebelum bomba dihantar ke lokasi.
"Anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 50 peratus dan terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian itu. Dua pekerja berusia 26 dan 40 tahun itu masing-masing melecur tahap satu di kepala dan tangan.
"Kerja-kerja pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata berdasarkan maklumat awal, bot itu sudah lama diparkir di kawasan berkenaan dan semasa proses memasang bateri berlaku percikan api sebelum menyambar lebihan minyak yang berada berdekatan.
Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 1.27 tengah hari dan kerja-kerja 'overhaul' selesai dijalankan kira-kira sejam kemudian, manakala kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di lokasi kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA