JENAYAH & MAHKAMAH

Masuk Laluan Bertentangan Punca Kemalangan Maut Di Lebuhraya Senai-Desaru - Polis

27/12/2025 04:15 PM

JOHOR BAHRU, 27 Dis (Bernama) -- Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai-Desaru pagi tadi dipercayai akibat sebuah daripada kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan sehingga berlaku perlanggaran yang meragut dua nyawa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian membabitkan kereta Proton Wira, Proton Saga dan Perodua Myvi itu kira-kira pukul 5.35 pagi.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu lelaki berumur 19 tahun telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 21 tahun.

"Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing sebelum terhenti di lorong kiri dan kanan, sementara Perodua Myvi dipandu wanita berusia 23 tahun yang berada di belakang Proton Saga tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira terbabit. 

"Akibat kejadian tersebut, pemandu kereta Proton Wira dan Proton Saga mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Sohaimi berkata tiga penumpang kereta Proton Wira dan pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah, manakala seorang penumpang Perodua Myvi pula hanya cedera ringan.

"Kesemua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan berhemah. Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis melalui talian 07-386 4222," katanya. 

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang PBK I Nazarudin Yusof dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menjalankan operasi mengeluarkan dua mangsa maut yang tersepit menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) sebelum diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2506554