DUNIA

Pemimpin Bangladesh Ikrar Pilihan Raya Umum Diadakan Mengikut Jadual

23/12/2025 10:45 AM

NEW DELHI, 23 Dis (Bernama) -- Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus berkata pilihan raya bagi memilih Parlimen baharu akan diadakan mengikut jadual pada 12 Feb, meskipun jutaan dolar dibelanjakan oleh “penyokong rejim yang digulingkan” untuk mengganggu proses pilihan raya itu.

“Rakyat negara ini tidak sabar untuk menunaikan hak mengundi mereka yang telah dirampas oleh rejim autokratik,” kata Yunus, merujuk kepada pentadbiran bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan.

Yunus membuat kenyataan itu pada malam Isnin dalam perbualan telefon dengan Sergio Gor, Duta Amerika Syarikat ke India yang juga berkhidmat sebagai utusan khas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi Asia Selatan dan Asia Tengah.

Menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha, Yunus menuduh Hasina yang melarikan diri ke India pada Ogos 2024, sebagai menghasut keganasan.

Bangladesh turut digegarkan dengan pembunuhan pemimpin belia Sharif Osman Hadi bulan ini, yang merupakan tokoh popular dalam kebangkitan anti-Hasina.

Pembunuhan itu serta hubungan Amerika Syarikat–Bangladesh turut dibincangkan dalam perbualan telefon berkenaan.

Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Asia Tengah Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu hantaran di platform X memaklumkan bahawa Gor telah mengadakan perbualan yang produktif dengan Yunus bagi membincangkan perkembangan terkini di Bangladesh serta kepentingan Amerika Syarikat dalam memajukan kemakmuran melalui perdagangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505469