JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Klang Utara Lupus Barang Kes Bernilai RM1.6 Juta

23/12/2025 03:09 PM

KLANG, 23 Dis (Bernama) -- Tiga pucuk pistol, ratusan senjata tajam serta puluhan ribu barangan berkaitan perjudian, kontraban dan bitcoin antara lebih 34,000 barang kes bernilai kira-kira RM1.6 juta dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata pelupusan itu membabitkan 34,120 barang kes berkait 797 kertas siasatan pelbagai jenayah dari 2017 hingga kini selepas mendapat kelulusan mahkamah.

“Antara barang dilupuskan berkait dengan 2,945 kes perjudian, kontraban (28,493 kes), barang am (1,501 kes) dan bitcoin (1,181 kes) yang dirampas berkait jenayah serius termasuk bunuh, kekerasan dan samun bersenjata,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara, di sini hari ini.

Mohd Rahimi berkata selain itu, wang tunai RM296,485.80 dilucutkan hak. 

Beliau berkata pistol yang dilupuskan digunakan dalam kes samun bersenjata serta diklasifikasikan sebagai pistol kategori tier satu selain pistol angin manakala senjata tajam seperti pisau dan parang digunakan dalam kes samun dan pelbagai jenayah kekerasan lain.

Beliau berkata mesin bitcoin dilupuskan dengan dihancurkan secara manual bagi memastikannya tidak dapat digunakan semula.

“Minuman keras dilupuskan melalui pengasingan cecair secara kimia dan kaedah pemeruapan manakala botol serta tin dikitar semula. Rokok pula dimusnahkan melalui pembakaran di dalam kebuk pembakaran khas,“ katanya.

Beliau berkata proses pelupusan dijalankan syarikat Pendamaran Jaya Motor di Pelabuhan Klang yang memiliki pensijilan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta mematuhi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Proses pelupusan disaksikan Majistret Mahkamah Klang Haleez Hasnan bagi pematuhan tatacara perundangan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505545