MERSING, 23 Dis (Bernama) -- Seorang pembantu khidmat am yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki terbalik ketika memancing di Loji Air Felda Nitar 2 di sini semalam, ditemukan lemas tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata mayat Mohammad Putera Rizzurin Md Noh, 36, dijumpai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 12.49 tengah malam setelah membuat selaman di lokasi berkenaan.
"Mayat mangsa ditemukan kira-kira enam meter dari lokasi dia dilaporkan hilang dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muiz berkata pencarian awal dilakukan secara di permukaan air melibatkan lima anggota PPDA dari BBP Kluang.
"Selain itu, 13 anggota BBP Mersing, lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini," katanya.
Semalam, media melaporkan petugas Sekolah Kebangsaan LKTP Nitar 2 itu dikhuatiri lemas ketika memancing bersama-sama dua saudaranya, setelah bot dinaiki mereka terbalik di loji berkenaan.
Bagaimanapun, Muhammad Zul Hafeez Azman Adi, 29, dan Shahrul Izwan Sabaruddin, 36, berjaya menyelamatkan diri.
-- BERNAMA