NEW DELHI, Dis 18 (Bernama) -- Bangladesh bakal membuka kedutaan sepenuhnya di Switzerland kerana melihat negara Eropah itu sebagai rakan kongsi strategik dan pembangunan yang penting.
Satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua penasihat kerajaan sementara Muhammad Yunus pada Khamis meluluskan cadangan penubuhan misi diplomatik baharu itu di ibu negara Switzerland, Bern, lapor agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Sebelum ini, misi tetap Bangladesh yang ditauliahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva mengurus kepentingan negara itu di Switzerland.
“Pada peringkat permulaan, kedutaan itu akan memulakan operasi dengan pelantikan seorang duta, seorang setiausaha pertama serta beberapa pegawai dan kakitangan. Setakat ini, Bangladesh mempunyai 82 misi diplomatik di pelbagai negara di seluruh dunia,” lapor BSS.
-- BERNAMA