Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi susulan permintaan eksport yang lebih kukuh khususnya disebabkan kelemahan harga bahan komoditi itu baru-baru ini, menurut seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kelemahan harga MSM baru-baru ini menarik minat belian kerana ia menjadi lebih murah berbanding minyak sayuran lain.
“Anggaran pengeluaran MSM yang lemah turut menjejaskan sentimen pasaran. Kami melihat paras sokongan pada RM3,900 dan paras rintangan pada RM4,080,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2026 meningkat RM81 kepada RM3,973 setiap tan manakala kontrak Februari 2026 dan April 2026 masing-masing naik RM75 kepada RM3,983 dan RM3,990 setiap tan.
Kontrak Mac 2026 melonjak RM80 kepada RM3,985 setiap tan, kontrak Mei 2026 berkembang RM72 kepada RM3,988 manakala kontrak Jun 2026 menokok RM68 kepada RM3,982 setiap tan.
Jumlah dagangan susut kepada 50,781 lot daripada 81,381 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka menurun kepada 270,951 kontrak berbanding 276,507 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Januari Selatan naik RM50 kepada RM4,000 setiap tan.
-- BERNAMA