AM

Akta Iltizam Letak Malaysia Sebagai Model Tadbir Urus Moden Di Peringkat Global - KPPA

23/12/2025 10:25 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) [Akta 867] menandakan langkah berani Malaysia ke arah membentuk perkhidmatan awam yang adaptif, tangkas dan berorientasikan hasil.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan akta itu bukan sahaja bertujuan membina semula kepercayaan rakyat, malah bakal meletakkan Malaysia sebagai model tadbir urus moden di peringkat global.

“Rasional penggubalan Akta ILTIZAM adalah bagi memastikan reformasi perkhidmatan awam tidak lagi dilaksanakan secara terasing, sebaliknya diperkukuh melalui kerangka perundangan yang jelas, konsisten dan berakauntabiliti.

“Akta ini menegaskan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi, mempermudah proses kawal selia serta memastikan perkhidmatan kerajaan lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan komuniti perniagaan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Wan Ahmad Dahlan berkata antara intipati utama akta berkenaan termasuk komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban kawal selia sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga tahun, selain pelaksanaan Dasar Satu Masuk-Satu Keluar bagi memastikan kecekapan sistem kawal selia negara serta pelaporan prestasi dan penarafan secara berkala.

“Dengan pendekatan ini, Akta ILTIZAM membantu mengurangkan kerenah birokrasi, pertindihan proses dan kelewatan keputusan yang boleh membuka ruang dan risiko salah guna kuasa. Ia juga menyokong pencegahan rasuah secara tidak langsung dengan memperkemas proses kerja, meningkatkan ketelusan dan memperjelas akauntabiliti institusi,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata Akta ILTIZAM berperanan sebagai pelengkap strategik kepada peraturan sedia ada seperti Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menetapkan standard minimum kecekapan dan tadbir urus yang perlu dipatuhi oleh setiap entiti kerajaan.

“Pendekatan akta ini bersifat penambahbaikan berterusan melalui Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) dan bukan bersifat punitif. Ia bertujuan membudayakan perkhidmatan yang beretika serta telus.

“Dari sudut rakyat, penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan mesra pengguna akan meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan dan komitmen perkhidmatan awam. Secara keseluruhan, Akta ILTIZAM membantu membina kepercayaan rakyat dan memperkukuh imej perkhidmatan awam sebagai institusi yang progresif dan berprestasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata Akta ILTIZAM akan diselaraskan dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi tujuan pengurusan bakat serta penilaian prestasi yang lebih objektif.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, Wan Ahmad Dahlan berkata sebuah Pasukan Petugas Khas ILTIZAM (Alpha ILTIZAM) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah ditubuhkan bagi memantau penjajaran serta penyelarasan merentas entiti kerajaan dalam memastikan pelaksanaan akta itu dilaksanakan secara serius, konsisten dan berimpak tinggi.

“Mekanisme pelaporan dan pemantauan berkala juga akan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan dan kefahaman yang berterusan di seluruh perkhidmatan awam,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata SSPA Fasa 2 dan Akta ILTIZAM tidak boleh dilihat sebagai dua usaha yang terpisah antara satu dengan lain tetapi sebagai satu ekosistem baharu pengurusan sumber manusia yang dibina di atas asas transformasi digital.

Beliau berkata SSPA menyediakan platform keputusan ganjaran seperti pergerakan gaji tahunan, kenaikan pangkat dan penempatan dibuat secara lebih objektif dan berasaskan data manakala Akta ILTIZAM memberikan kerangka perundangan untuk model perkhidmatan yang lebih fleksibel.

Pekeliling Iltizam berserta empat garis panduan utama telah dilancarkan pada 6 Dis lepas sempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Perkhidmatan Awam 2025 sebagai rujukan pelaksanaan di semua peringkat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2505455