SUKAN

Sukan SEA 2025: Emas Regu Lelaki Milik Malaysia

20/12/2025 04:34 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

NAKHON PATHOM, 20 Dis (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih pingat emas regu lelaki Sukan SEA Thailand 2025 selepas mengatasi Vietnam 2-0 pada aksi final di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom, kira-kira 70 kilometer (km) dari Bangkok di sini, hari ini.

Kejayaan itu menamatkan kemarau emas Malaysia dalam acara regu lelaki sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur, selain menambah koleksi emas kem sepak takraw negara selepas turut mencipta sejarah menumbangkan Thailand untuk menjuarai acara regu berpasukan lelaki selepas 34 tahun.

Pada pertembungan hari ini, trio Malaysia dibarisi tekong Mohamad Syahir Mohd Rosdi, apit kanan Mohamad Azlan Alias dan apit kiri Farhan Adam bermula cemerlang dengan kemenangan 15-9 pada set pertama.

Rentak kemenangan diteruskan pada set kedua apabila trio Vietnam yang dibarisi Ngo Thanh Long, Vuong Minh Chau dan Dau Van Hoang, gagal menyaingi pasukan negara, sekali lagi tewas tunduk 9-15 sekali gus mengesahkan pingat emas buat Malaysia.

Anak buah Ahmad Jais Baharu menutup tirai temasya dwitahunan itu dengan nota positif, apabila saingan regu yang menjadi perlawanan terakhir dan menawarkan pingat, menyaksikan kontinjen menambah emas ke-57.

Terdahulu, Vietnam mengejutkan juara bertahan Thailand 2-1 (15-13, 6-15, 15-9) pada aksi separuh akhir regu lelaki manakala Malaysia menundukkan Indonesia 2-0 (15-7, 15-10).

Kekalahan itu menyaksikan Thailand dan Indonesia masing-masing berkongsi gangsa.

Sementara itu dalam aksi wanita, skuad negara menamatkan saingan liga sepusingan dengan berkongsi pingat gangsa bersama Indonesia selepas tewas 2-0 (15-1, 15-12) pada perlawanan terakhir.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504834