KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong Hanifah dilantik sebagai jurulatih skuad e-racing kebangsaan.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata pelantikan berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan SEA 2027.
“Untuk e-racing, kami melihat kelebihan besar menerusi pengalaman dan kepakaran dimiliki Alex.
“Beliau akan bertugas sepenuh masa bermula April ini bagi memastikan program latihan lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam pada itu, Muhammad Naim turut mengumumkan bahawa buat pertama kali atlet e-sukan tersenarai dalam Program Podium MSN, sekali gus menyaksikan pengiktirafan rasmi terhadap atlet yang terlibat.
“Bagi kategori sepenuh masa, kita telah memuktamadkan beberapa judul termasuk eFootball, Identity V dan e-Racing.
“Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita pula diletakkan dalam kategori separuh podium, manakala skuad lelaki berada dalam kategori berfasa,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan ke Sukan Asia, beliau berkata sebanyak 11 judul akan dipertandingkan, dengan Malaysia sudah pun layak secara automatik bagi acara Honor of Kings.
“Baki 10 lagi judul akan ditentukan menerusi pusingan kelayakan yang akan dijalankan kelak,” katanya.
-- BERNAMA