EKONOMI

Pasaran Modal Malaysia Bakal Jadi Hab Produk Khusus Bertemakan ASEAN

09/03/2026 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pasaran modal Malaysia akan berkembang menjadi hab produk dengan produk khusus bertemakan ASEAN termasuk  dana dagangan bursa (ETF) patuh Syariah, dana beretika, mampan dan infrastruktur, melalui pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP).

Pelan induk itu yang menyelia pelan lima tahun juga akan menyaksikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bekerjasama dengan pengawal selia ASEAN lain untuk memastikan penyelarasan rangka kerja, piawaian dan proses kawal selia lebih baik untuk mengurangkan kekangan urus niaga serta meningkatkan kecekapan pembayaran dan penyelesaian.

SC menyatakan bahawa pasaran modal Malaysia kini berada di persimpangan strategik dalam menentukan hala tuju masa hadapan bagi merebut peluang di peringkat serantau.

"Ia bukan sesuatu mengejutkan bawah bahagian ASEAN dalam ekonomi global semakin meningkat dengan rantau ini diunjurkan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2040.

“Bagaimanapun, pasaran modal ASEAN kini kurang diwakili berbanding kehadiran ekonominya. Sebagai contoh, ASEAN kini hanya mewakili empat peratus daripada Indeks Pasaran Baharu Muncul MSCI,

"Prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang cerah menunjukkan terdapat potensi peningkatan yang besar untuk pasaran modal ASEAN dan pengantaraan serantau dalam tempoh dua dekad akan datang," katanya.

Menurut pelan induk, dalam peralihan kepada ekonomi global berasaskan multipolar, ASEAN akan mendapat manfaat daripada peningkatan pesat dalam tahap perdagangan dan pelaburan intra-serantau.

"Sehubungan itu, terdapat insentif yang ketara untuk pengawal selia pasaran modal ASEAN dan perantara mereka untuk bekerjasama bagi memacu aliran modal rentas sempadan intra-serantau bagi membiayai pertumbuhan ekonomi mereka dan membina daya tahan serantau terhadap kejutan kewangan global," katanya.

Sebagai tambahan, aliran rentas sempadan dalam rantau ini dijangka berkembang pesat didorong oleh peningkatan kekayaan dan pengumpulan simpanan di Asia, manakala perluasan produk berkaitan serantau serta pengumpulan dana rentas sempadan akan membuka rangkaian perniagaan perantaraan baharu dalam bidang penajajaminan, khidmat nasihat dan pengurusan dana, sekali gus mewujudkan peluang kepada pihak perantara untuk memperoleh mandat baharu dan sumber yuran baharu.

"Malaysia menawarkan cadangan yang menarik dengan saiz Pasaran Modal Islam (ICM) sebanyak RM2.7 trilion dan kepakaran sukuk diiktiraf di peringkat global. Selain akses kepada peluang patuh Syariah dan beretika, Malaysia juga merancang untuk membangunkan niche dalam kewangan mampan, beretika dan infrastruktur.

"Tarikan ini disokong oleh pengiktirafan antarabangsa terhadap kekuatan kawal selia Malaysia berhubung dengan piawaian tadbir urus dan perlindungan pelaburnya," katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia beroperasi dari kedudukan kukuh kerana ia mempunyai ekosistem pasaran modal matang dengan perantara canggih, pelabur institusi berkaitan kerajaan dan swasta yang besar serta hubungan sangat baik dengan pengawal selia serantau dan global berdasarkan kepada pelan induk tersebut.

CMP pertama (2001–2010) meletakkan asas untuk pasaran modal moden selepas krisis kewangan Asia manakala CMP2 (2011–2020) memulihkan keyakinan pasaran selepas krisis kewangan global., bagi CMP3 (2021–2025), ia muncul selepas pandemik COVID-19.

Siri keempat CMP oleh SC telah dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532325