KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Olahraga Malaysia (MA) melantik Mohd Manshahar Abd Jalil sebagai Ketua Jurulatih Lompatan bagi musim 2026-2027, dalam usaha penstrukturan semula sistem kejurulatihan badan induk itu yang memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan disiplin.
Dalam struktur baharu ini, Mohd Manshahar yang juga bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan akan berperanan sebagai penyelaras program kejurulatihan bagi memastikan pelaksanaan latihan, pemantauan prestasi, dan dokumentasi program dijalankan secara selaras mengikut garis panduan MA.
MA dalam kenyataan memaklumkan pendekatan baharu itu melibatkan pelantikan ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama iaitu pecut, lompatan, balingan serta larian jarak sederhana dan jauh bagi memastikan program latihan atlet negara dilaksanakan secara lebih tersusun, sistematik, dan berfokus.
“Pelantikan barisan jurulatih ini dibuat selepas melalui proses penilaian dan temu duga oleh panel bebas bagi memastikan individu dipilih memiliki pengalaman, kepakaran serta kemampuan untuk membimbing atlet negara ke tahap lebih tinggi.
“MA turut menetapkan sasaran pembangunan bagi dua kitaran Sukan SEA sebagai usaha memperkukuh prestasi atlet negara melalui kepakaran jurulatih tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain Manshahar, barisan Jurulatih Program Podium yang dilantik ialah Mohd Nizam Md Yusof, Mohamad Ali Hamid, Zainuddin Yusoff dan Ahmad Firdaus Salim.
Bagi memperkukuh pembangunan atlet pelapis, MA turut melantik tujuh jurulatih iaitu Lee Hup Wei, Muhammad Hakimi Ismail, Tan Song Hwa, Lo Choon Sieng, Hisham Mustaza Ibrahim, Mohd Jironi Riduan dan Roslinda Samsu.
MA juga menegaskan bahawa pendekatan pembangunan kejurulatihan seperti program train the trainer (TOT) akan terus dilaksanakan bagi memastikan pemindahan ilmu dan kepakaran dapat dikongsi bersama jurulatih tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan olahraga negara secara berterusan.
Dalam pada itu, MA menjelaskan beberapa jurulatih dari luar negara dijangka dilantik dalam masa terdekat bagi melengkapkan struktur kejurulatihan sedia ada dengan mereka disasar memulakan tugas selepas April ini.
-- BERNAMA