AM

Media Perlu Manfaatkan AI Untuk Tingkat Kecekapan, Kurangkan Kos - Pengerusi Bernama

19/12/2025 01:31 PM

GEORGE TOWN, 19 Dis (Bernama) -- Media kini tidak mempunyai pilihan selain perlu melabur dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi cabaran yang kian bertambah, termasuk keuntungan yang merosot berbanding kos tetap yang semakin meningkat, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)  Datuk Seri Wong Chun Wai.

Beliau berkata teknologi AI bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja, tetapi juga menghasilkan lebih banyak kandungan seperti video, cerita, klip, hantaran, rancangan serta pelbagai versi untuk platform berbeza.

“Penghasilan lebih banyak kandungan bermakna lebih banyak peluang untuk penjanaan pendapatan dan berpotensi mengurangkan keperluan tenaga kerja, kos tetap serta pembayaran gaji.

“Namun, hal ini tidak dapat dielakkan sekiranya kita ingin memastikan syarikat media terus bertahan,” katanya berucap pada Persidangan Tahunan World Chinese Language Press Institute ke-58 di Galeri Seni Lin Xian Xiong di sini hari ini.

Persidangan dua hari berkenaan diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-115 syarikat akhbar yang berpangkalan di Pulau Pinang, Kwong Wah Yit Poh.

Syarikat akhbar harian itu diasaskan pada 1910 oleh revolusioner China, Dr Sun Yat Sen semasa beliau berada dalam buangan di Pulau Pinang dan diiktiraf sebagai akhbar Cina tertua yang masih bertahan di dunia.

Dalam pada itu, Wong berkata AI juga meningkatkan keterlibatan penonton kerana syarikat media kini dapat memahami dengan tepat kehendak audiens mereka.

“AI membantu menghasilkan jenis kandungan baharu yang disukai pengiklan. AI juga membolehkan penyasaran audiens lebih tepat, penyediaan laporan lebih baik, segmentasi serta ramalan prestasi kandungan lebih tepat.

“Kandungan yang dihasilkan oleh media perlu relevan dan disampaikan tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata AI juga telah membolehkan capaian kepada audiens yang lebih besar, sekali gus membuka peluang kepada peningkatan pasaran, jumlah pelanggan, penajaan serta jumlah tontonan.

Wong yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Mandarin turut berkongsikan beliau telah menghasilkan video menggunakan bahasa berkenaan yang dijana oleh AI, sehingga rakan-rakannya pun sukar membezakan kandungan itu dengan kandungan dihasilkan oleh manusia.

Tokoh kewartawanan itu turut mengetengahkan tentang potensi penjanaan pendapatan melalui media sosial serta perkhidmatan berbayar yang baharu.

Beliau mengakui tidak semua cadangannya akan berhasil, namun yakin AI mampu membantu media meningkatkan pendapatan.

 Terdahulu, persidangan berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta dihadiri Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Steven Sim.

Lebih 80 pengamal media dari Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Indonesia, Singapura, Filipina serta Kanada menghadiri persidangan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504432