SUKAN

Sukan SEA: Sanjay Bangkit, Tangisan Kegembiraan Buat Noor Ainaa

19/12/2025 05:19 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Pemain skuasy negara Sanjay Jeeva dan Noor Ainaa Amani Ampandi mengukuhkan kedudukan selaku pilihan utama apabila merangkul pingat emas, masing-masing bagi kategori perseorangan lelaki dan wanita, pada Sukan SEA Thailand 2025 di Kolej Vajiravudh, di sini hari ini.

Sanjay mempamerkan aksi cemerlang untuk mengesahkan emas pada perlawanan akhir menentang rakan senegara, apabila bangkit semula selepas tewas pada set pembukaan setelah mengalahkan Duncan Lee 6-11, 11-6, 11-5, 11-4 dalam perlawanan selama 52 minit.

Atlet berusia 26 tahun itu gembira dapat menamatkan penampilan sulungnya dalam temasya itu dengan kejayaan, sekali gus memperkukuh kedudukannya selaku pemain nombor dua negara.

Sanjay turut berpuas hati apabila berjaya membalas kekalahannya kepada Duncan pada Kejohanan Kebangsaan ke-40 di Pulau Pinang pada Ogos lepas, apabila tewas 9-11, 8-11, 8-11.

"Saya tewas kepadanya pada kejohanan kebangsaan, jadi saya tahu perlawanan ini tidak akan mudah kerana sudah pasti dia membuat persediaan rapi.

"Perlawanan ini lebih kepada pertarungan mental bagi kami berdua kerana kami kerap berlatih bersama-sama. Kami mengenali rutin dan cara permainan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada aksi final perseorangan wanita pula, pemain nombor 59 dunia Noor Ainaa Amani Ampandi mengetepikan cabaran rakan senegara Yee Xin Ying 11-7, 12-10, 8-11, 11-4 dalam tempoh 35 minit untuk memenangi pingat emas Sukan SEA pertamanya.

Melakukan penampilan sulung dalam temasya dwitahunan itu, Noor Ainaa mengakui tekanan tinggi menjelang perlawanan akhir, khususnya sebagai pilihan utama dan pemain yang lebih berpengalaman berbanding Xin Ying yang menduduki ranking ke-65 dunia.

Noor Ainaa yang menitiskan air mata selepas saingan berkenaan berkata kemenangan itu amat bermakna buat dirinya selepas melalui pelbagai cabaran pada musim ini termasuk bergelut dengan kecederaan pada lutut kanan.

Beliau berkata kejayaan itu meningkatkan keyakinannya dan berharap dapat membantu melonjakkan kedudukannya sekurang-kurangnya dalam kelompok 40 terbaik dunia, selain membuka peluang menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa tahun depan.

Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia menyapu bersih kesemua empat pingat emas acara skuasy yang dipertandingkan pada edisi ke-33 sukan itu.

Rabu lepas, Malaysia terlebih dahulu meraih dua emas dalam acara jumbo beregu lelaki dan campuran.

Emas pertama hadir menerusi gandingan Harith Danial Jefri-Sehveettrraa Kumar yang mengecewakan beregu campuran Filipina Jonathan Reyes-Aerra JC Mae Relano 11-5, 11-2.

Harith Danial menambah emas keduanya apabila bergandingan dengan Low Wa Sern mengatasi Reyes-Christopher Buraga 11-4, 8-11, 11-5, menerusi acara jumbo beregu lelaki.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504518