AM

Kemalangan Helikopter: Pembantu Juruterbang Sempat Telefon Minta Doakan Keselamatan - Bapa

11/07/2025 01:30 PM

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- “Dia baru sahaja telefon saya minta saya doakan (keselamatan) … tidak lama selepas itu, saya dapat tahu helikopter dia terhempas,” demikian luahan Baharom Mohammed, 82, bapa kepada pegawai polis Supt Ahmad Bustamin Baharom, 46, yang terlibat dalam kemalangan helikopter berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, semalam.

Menurut pesara pengetua sekolah itu, anaknya yang berkhidmat dengan polis sejak 2005 sempat memaklumkan bahawa mereka akan menaiki helikopter untuk menyertai satu latihan, sebelum meminta agar didoakan keselamatan.

Katanya ketika kejadian, Ahmad Bustamin yang merupakan pembantu juruterbang sempat keluar lebih awal dari helikopter sebelum ia tenggelam dan turut membantu menyelamatkan rakan setugas lain yang cedera.

“Dia pernah ambil latihan berkaitan pengendalian helikopter sebelum ni. (Ketika kejadian) dia (berjaya) keluar dulu, selepas itu dia bantu anggota lain termasuk seorang yang hampir lemas. Ada juga yang pengsan semasa kejadian.

“Kami berdoa sepanjang malam tadi dan syukur semua kru selamat. Isterinya juga berada di hospital menemani Ahmad Bustamin,” katanya yang tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 8 pagi tadi bersama isterinya, Che Mah Abu Bakar, 76, dari Alor Setar, Kedah.

Baharom berkata Ahmad Bustamin yang juga bapa kepada empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun, mengalami patah tulang rusuk, lebam di muka, serta kebas di kaki, namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.

“Awalnya, muka dia bengkak, tetapi sudah surut sikit. Nasib baik dia pakai topi keledar ketika kejadian. Kalau tidak, mungkin lagi teruk,” katanya.

Semalam, sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa lima kru terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah. 

Selain Ahmad Bustamin, anggota dan pegawai lain yang terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pemerhati udara Koperal Adeline Liu Yan Siu, anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri Konstabel R. G. Devendran.

Kesemua kru berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan kini sedang menerima rawatan lanjut di HSA.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan turut hadir melawat mangsa yang sedang menerima rawatan di HSA kira-kira pukul 11 pagi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444044