ISKANDAR PUTERI, 10 Julai (Bernama) -- Perasaan cemas dan terkedu menyelubungi dua pengamal media ketika menyaksikan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tiba-tiba menjunam ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah pagi tadi.
Menyifatkan ia sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan, kedua-duanya berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.
Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor Muhammad Aiman Hakeem Awazmin, 27, berkata ketika insiden beliau sedang bertugas membuat liputan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya peristiwa itu mengimbau pengalaman dua tahun lepas ketika beliau pertama kali menaiki helikopter jenis sama bagi membuat liputan media.
"Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang bagaimana helikopter tu jatuh menjunam ke dalam sungai. Ia betul-betul berlaku depan mata.
“Saya pernah naik helikopter jenis sama semasa tugasan liputan banjir dua tahun lepas di Kluang. Apabila tengok helikopter itu terus menjunam dan jatuh ke air, perasaan bercampur baur dan trauma. Pengalaman ini merupakan antara pengalaman paling menakutkan sepanjang bergelar wartawan,” katanya.
Sementara itu, jurufoto sambilan Bernama Johor Mohd Hazrol Zainal, 31, turut tidak menyangka kemalangan seperti itu berlaku tatkala beliau sedang bertugas.
"Saya terkejut kerana ketika kejadian saya sedang mengambil gambar barisan kapal APMM dan sebagainya sedang melakukan lintas hormat dan ketika itu juga helikopter berkenaan sedang melakukan aksi berada di atas.
"Secara tiba-tiba helikopter itu meluncur ke bawah dan terhempas..semua orang terkejut dan tergamam," katanya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM bernombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM helikopter berkenaan telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dengan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
Dua daripada lima anggota polis yang terlibat dalam insiden itu berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
-- BERNAMA