AM

Algeria, Uruguay Bakal Tandatangani TAC ASEAN – Mohamad Hasan

09/07/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Algeria dan Uruguay dijangka menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) ASEAN pada Rabu.

“Menerusi majlis hari ini, kita mengalu-alukan Algeria dan Uruguay sebagai negara baharu yang menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapan pembukaan semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Rabu, beliau berkata prinsip ASEAN kini diterima secara meluas di luar rantau Asia Tenggara.

TAC yang ditubuhkan pada 1976 berfungsi sebagai kod etika dalam hubungan antara negara di rantau ini dan seterusnya, merangkumi prinsip universal kewujudan bersama secara aman dan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota.

Perjanjian itu merupakan dokumen asas dan mengikat secara sah dalam rangka kerjasama ASEAN dan telah ditandatangani 55 negara termasuk Ukraine, China, India, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443064