AM

Angkasa, Koperasi LLM Jalin Kerjasama Anjur Larian ACNR 2025

09/07/2025 06:32 PM

PETALING JAYA, 9 Julai (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Koperasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Berhad untuk menganjurkan CIMB ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2025 (ACNR 2025).

MoA itu ditandatangani oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi LLM Berhad Datuk Idrus Mat Tais, disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA Datuk Abdullah Jusoh dan Timbalan Setiausaha Koperasi LLM Berhad Nazri Saad.

Acara larian itu yang menyasarkan penyertaan 5,000 orang dari negara ASEAN, akan berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang pada 16 Ogos ini.

Abdul Fattah berkata penyertaan ANGKASA dalam ACNR 2025 adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat selain memperkukuh jaringan koperasi pada peringkat serantau bersempena dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) bertemakan "Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat".

"Penyertaan ANGKASA dalam program ini turut memberikan peluang kepada gerakan koperasi terlibat secara aktif dalam program berskala serantau, sejajar dengan usaha ANGKASA dalam mempromosikan budaya koperasi pada peringkat ASEAN," katanya pada sidang media majlis itu di sini hari ini.

Beliau berkata ANGKASA juga menyalurkan tajaan bernilai RM100,000 merangkumi barangan dan wang tunai untuk pemenang serta hadiah cabutan bertuah sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan komuniti dan program berimpak sosial serta ekonomi.

Mengulas lanjut, beliau berkata ACNR 2025 menawarkan tiga kategori utama, iaitu Fun Run 5 kilometer (km), larian kompetitif 10 km merangkumi enam kategori mengikut jantina dan umur, serta larian kompetitif 21 km yang dibahagikan kepada empat kategori terbuka dan veteran.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook @ANGKASACoop, @CulturalNightRun atau laman web rasmi www.culturalnightrun.com.my sebelum tarikh tutup pada 15 Julai ini.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443210