KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal berdaya saing berbanding kalangan negara anggota ASEAN meskipun berpotensi dikenakan tarif tambahan 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas negara-negara yang dilihat sejajar dengan BRICS, kata MIDF Amanah Investment Bank.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata anggota lain ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam yang juga negara rakan BRICS, berkemungkinan besar dikenakan gabungan tarif lebih tinggi masing-masing pada 42 peratus, 46 peraus dan 30 peratus.
Tarif baharu itu jika dilaksanakan, boleh menaikkan keseluruhan kadar tarif dikenakan ke atas Malaysia kepada 35 peratus daripada 25 peratus pada masa ini.
“Bagi Malaysia yang juga negara rakan BRICS, implikasi ancaman terbaharu ini adalah spekulasi (setakat ini); selepas rundingan itu jika Malaysia masih tersenarai di bawah tarif menyeluruh 10 peratus, tarif tambahan berkaitan BRICS itu berpotensi menaikkan jumlah tarif kepada 20 peratus.
“Bagaimanapun, pada masa ini, ia lebih dilihat sebagai ancaman berbanding satu dasar yang tetap,” kata MIDF.
Presiden Donald Trump menerusi hantarannya di laman sosial Truth Social, mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas negara “yang sejajar dengan dasar BRICS yang anti-AS.”
Pemimpin AS itu bagaimanapun tidak menjelaskan perkara itu.
MIDF juga menyifatkan langkah itu sebagai isyarat bahawa AS masih terbuka kepada rundingan.
“Bagi Malaysia misalnya, peningkatan tarif itu menunjukkan selagi Malaysia tidak mencapai persetujuan, maka tarif tambahan 10 peratus itu akan dikenakan,” katanya.
-- BERNAMA