DUNIA

Menteri Luar Uruguay Tiba Di Malaysia Untuk AMM Ke-58, Mesyuarat Berkaitan

09/07/2025 04:38 PM

SEPANG, 9 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Uruguay Mario Lubetkin tiba di Kuala Lumpur pada Rabu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.

Beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.45 petang.

Lubetkin akan mewakili Uruguay pada majlis menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), menandakan langkah penting dalam usaha negara itu memperkukuh hubungan diplomatik dengan ASEAN serta mempromosikan kerjasama damai di rantau ini.

Selain Uruguay, Algeria turut akan menyertai perjanjian tersebut.

Ditubuhkan pada 1976, TAC mempromosikan prinsip utama seperti saling menghormati, tidak campur tangan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

Perjanjian itu dipinda pada 1987 bagi membolehkan negara bukan ASEAN menyertainya.

Majlis menandatangani perjanjian itu akan diadakan bersempena AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443166