AM

Aktiviti Candat Sotong Antara Pengisian Menarik PMR Terengganu

09/07/2025 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Aktiviti mencandat sotong yang sememangnya cukup sinonim dengan Terengganu menjadi antara tarikan utama Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat negeri yang bakal berlangsung di sekitar Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu bermula esok hingga 12 Julai ini.

Program yang menampilkan pengisian lebih bersasar dan menyentuh keperluan rakyat setempat dijadual mengetengahkan pelbagai program menarik lain, termasuk Explorace Pasar Payang, Fun Run dan Sukan Rakyat.

Bertemakan 'Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera', penganjuran kali ini turut menerapkan nilai-nilai murni, warisan tempatan dan semangat perpaduan melalui aktiviti seperti program Terengganu Bermunajat, pertandingan memasak bubur Asyura, pertandingan masakan sotong serta demonstrasi kraf dan makanan warisan.

Selain itu, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, PMR kali ini turut diisi program kerohanian seperti Pocket Talk Jabatan Kemajuan Islam serta majlis tahlil dan doa selamat 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terkorban dalam nahas bas baru-baru ini.

Program tiga hari itu turut menjadi medan interaksi antara rakyat dan agensi kerajaan menerusi reruai pameran kementerian dan agensi yang dijangka menarik 25,000 pengunjung.

Pengunjung juga berpeluang menikmati perkhidmatan penukaran topi keledar secara percuma, diskaun 50 peratus saman trafik PDRM serta menyertai Karnival Kerjaya yang menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan, selain jualan MADANI dengan potongan harga 10 peratus hingga 30 peratus. 

Majlis penutup bakal dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan Menteri Kabinet.

PMR edisi keempat ini dianjurkan Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Kerja Raya selaku kementerian peneraju, dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442972