AM

Terengganu Bakal Tubuh Majlis Halal

09/07/2025 11:06 AM

KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu bakal menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) bagi memperkukuh pembangunan industri dan memudahkan urusan pensijilan halal dalam kalangan usahawan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ariffin Deraman berkata penubuhan MHT telah dipersetujui pada peringkat awal dan akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dalam masa terdekat untuk kelulusan rasmi.

"Kita sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan merangka pelan strategik tersendiri bagi menjayakan inisiatif ini.

"MHT juga akan melibatkan pembinaan hab halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan. Kita sedang mengenal pasti beberapa lokasi termasuk di enam kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD)  Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian  selepas merasmikan Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu dan Penyerahan Cek Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) Kali Kedua 2025 di sini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442971