AM

BRICS Dan Fasa Baharu Global Selatan: Pandangan Malaysia Dari Rio

09/07/2025 09:19 AM

Oleh Mohd Faiz Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Minggu ini di Rio de Janeiro, sesuatu yang bersejarah berlaku secara senyap tetapi cukup bermakna.

Ketika bandar raya itu menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak BRICS, satu suara baharu menyertai pentas global: Malaysia, bukan sahaja sebagai rakan rasmi BRICS, tetapi juga selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Apa yang menjadikan detik ini begitu istimewa bukan hanya kerana kehadiran Malaysia, tetapi mesej berani yang dibawanya.

Sejurus tiba di Rio, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diiringi ke pentas bersama Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, bagi merasmikan Forum Perniagaan BRICS. Namun apa yang berlaku selepas itu bukanlah sesi ucapan klise yang lazim di pentas persidangan antarabangsa. 

Anwar tidak membaca teks ucapan yang disediakan. Sebaliknya, beliau tampil dengan ucapan spontan – ringkas tetapi padat, penuh semangat dan jujur – yang cukup memukau dan mendapat tepukan gemuruh yang berterusan.

Sebagai seorang negarawan berpengalaman, Anwar menyampaikan mesej yang bersifat peribadi dan mudah dihayati, jelas dan menginspirasi. Bukan sekadar kerana kepetahannya berucap, tetapi kerana kebijaksanaan politik yang terserlah dalam setiap hujah.

Ucapan beliau bukan retorik kosong. Ia ikhlas, jujur, dan menyentuh terus ke hati hadirin. Ia bukan sekadar debut Malaysia di BRICS, tetapi satu kenyataan tegas bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan aktif dalam membentuk semula landskap dunia.

Anwar menegaskan satu kebenaran mudah: negara membangun tidak lagi wajar dilihat sebagai pemain sampingan dalam sistem dunia yang dibina oleh kuasa besar. Kita bukan tinggalan pascakolonial – kita adalah kuasa yang sedang bangkit, lengkap dengan kekuatan moral, teknologi dan cita-cita ekonomi.

Malaysia tidak hanya mewakili ASEAN, tetapi menjadi suara Global Selatan yang memperjuangkan masa depan dunia yang lebih adil, inklusif dan responsif.

Beliau turut memuji kepimpinan Presiden Lula dalam mentransformasikan BRICS – daripada sekadar slogan, kepada gabungan yang benar-benar mampu mencorakkan perubahan dunia.

Anwar juga menekankan bahawa BRICS hari ini bukan hanya forum pemimpin negara. Ia kini merangkumi suara sektor swasta, belia, wanita dan masyarakat sivil. Itulah yang memberikan BRICS tahap ketahanan, keterangkuman dan keabsahan yang tidak mampu ditandingi oleh institusi Bretton Woods, yang terbeban dengan struktur bersifat hierarki dan tidak telus.

Anwar menyampaikan mesej yang jelas, disulam dengan ketelitian: Malaysia dan Global Selatan mahu terlibat dengan semua pihak, tetapi tidak tunduk kepada sesiapa. Dan dalam peranan baharu ini, kita ingin merombak semula struktur kerjasama global dari perspektif negara membangun.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia membawa mandat yang berasaskan semangat multilateralisme, keterbukaan ekonomi dan kerjasama kolektif.

Anwar turut menyentuh usaha ASEAN untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau, memperdalam integrasi kewangan, serta menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan ke arah mewujudkan sistem yang lebih stabil, pelbagai dan kurang bergantung kepada dolar Amerika.

Sektor swasta BRICS pula digesa tampil lebih kreatif dengan mengguna pakai instrumen seperti sukuk hijau, dana iklim dan pembiayaan berasaskan kelestarian, sebagai sebahagian daripada transformasi sistemik.

Anwar menyeru supaya hubungan BRICS-ASEAN diperkuatkan kerana kedua-duanya berkongsi aspirasi Global Selatan, bukan untuk menggugat kestabilan dunia, tetapi untuk menyeimbangkannya.

Dalam dunia yang semakin terpecah akibat gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik, dialog seperti ini amat penting untuk memulihkan kepercayaan, memperkukuh pelaburan, dan merintis kerjasama strategik yang bermakna.

Anwar turut menggesa reformasi besar-besaran ke atas institusi pascaperang seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Institusi-institusi ini, katanya, tidak boleh lagi menjadi “penjaga masa lalu” – sebaliknya perlu berubah menjadi platform yang lebih adil, terbuka dan inklusif.

Mengenai dakwaan bahawa kehadiran Malaysia dalam BRICS adalah petanda menjauhkan diri daripada Barat, Anwar menjelaskan bahawa Amerika Syarikat kekal sebagai pelabur asing terbesar dan rakan dagang ketiga utama Malaysia sejak 2015, dengan nilai dagangan melebihi RM320 bilion pada 2024.

Justeru, dakwaan kononnya Malaysia berpaling arah adalah tidak berasas. Malaysia tidak memilih pihak, tetapi mencadangkan satu sistem global alternatif yang lebih saksama, berdaulat dan inklusif.

BRICS pula disifatkan lebih anjal, rangkaian terbuka dan selari dengan realiti dunia multipolar hari ini – satu alternatif segar kepada sistem sedia ada.

Apa yang berlaku di Rio bukan sekadar simbolik. Ia adalah langkah berani Malaysia ke hadapan – sebagai penghubung antara blok, pemudah cara serantau, dan penyokong tegas ekonomi dunia yang lebih adil.

Malaysia tidak mahu hanya menjadi pemerhati. Kita bersedia membawa semangat multilateralisme ke tahap baharu – termasuk dalam bidang seperti tadbir urus kecerdasan buatan (AI), pembiayaan iklim dan penyelarasan pelaburan swasta dengan keperluan awam.

Kita mahu pastikan Global Selatan bukan sekadar bersuara, tetapi bersatu dengan hala tuju yang jelas.

Jika Rio adalah detik kebangkitan semula suara Malaysia dalam BRICS, maka Kuala Lumpur berpotensi menjadi pentas penyatuan dan pengukuhan peranan itu.

Arah tuju kita jelas: bukan untuk meninggalkan sistem multilateralisme, tetapi membaikinya. Bukan menolak kerjasama global, tetapi mengimbangkannya. Bukan bersaing sesama blok, tetapi menyusun semula keutamaan global.

Malaysia tidak sekadar hadir di Rio. Kita tampil dengan keyakinan baharu — membina, berpandangan jauh dan bersedia memainkan peranan lebih besar.

Legasi detik ini tidak akan diukur melalui kenyataan media, tetapi menerusi institusi yang diperbaharui, kerjasama yang terbina, dan masa depan yang mampu dicapai bersama.

Tepukan gemuruh di Rio mungkin spontan, tetapi tugas selepas ini menuntut tekad, iltizam dan keazaman. Tentunya, Malaysia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab.

- BERNAMA

*  Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS)

KEYWORDS
          
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442954