AM

PM Anwar Akan Adakan Perjumpaan Dengan Rubio Pada Khamis

09/07/2025 12:38 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Khamis.

“Saya akan berjumpa dengannya esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai Rubio yang akan berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32, yang dijadualkan pada 10-11 Julai.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Rabu.

Ketibaan diplomat tertinggi AS itu pada Khamis menandakan lawatan sulung beliau ke Asia sejak memegang jawatan awal tahun ini.

Beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Rubio turut dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia semasa lawatan itu, dengan tumpuan memperkukuh komitmen AS dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443048