JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Johor menyasarkan untuk tampil sebagai peneraju bandar pintar di peringkat nasional dan serantau, menerusi penganjuran Johor Smart City Forum 2026, satu inisiatif berimpak tinggi yang dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan, pelajar, usahawan teknologi serta pelabur strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata forum itu, merupakan antara agenda utama yang dibincangkan dalam sesi libat urus bersama PLANMalaysia Johor, mengenai perancangan dan permohonan belanjawan pembangunan tahun 2026.
Beliau yang mempengerusikan sesi libat urus berkenaan berkata sesi melibatkan perancangan dan permohonan belanjawan pembangunan tahun 2026, penting dalam memastikan hala tuju perancangan bandar dan wilayah di Johor terus sejajar dengan keperluan semasa serta dasar pembangunan lestari kerajaan negeri.
“Turut diberi fokus ialah pembangunan sambungan Fasa Kedua Johor Urban Observatory (JUO) yang bertujuan memperkasakan sistem pemantauan bandar secara masa nyata. JUO akan menjadi antara sumber data kepada kerajaan negeri dalam membuat keputusan berasaskan sains dan teknologi khususnya berkaitan trafik, banjir, pencemaran, serta kesejahteraan rakyat Johor.
“Pembangunan JUO Fasa 2, akan melibatkan pelbagai perancangan pemasangan sensor di Sungai, serta pembangunan papan pemuka sistem pintar mengintegrasikan data antara pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi negeri dan Persekutuan, dan langkah ini merupakan pelengkap penting kepada pelaksanaan Johor-Singapore Economic Zone (JS-SEZ) dan aspirasi Maju Johor,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Mohd Jafni turut merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia Johor, atas perancangan berpaksikan data, teknologi dan keterangkuman sosial yang diketengahkan dalam sesi berkenaan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi, akan terus menyokong perancangan strategik yang bersifat mendepani masa depan,” katanya.
-- BERNAMA