AM

Agong Berkenan Terima Menghadap SUK Johor Yang Baharu

08/07/2025 01:19 PM

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu Datuk Asman Shah Abd Rahman. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.  

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 45 minit itu turut dihadiri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

Asman Shah mengangkat sumpah jawatan dan sumpah taat setia sebagai Setiausaha Kerajaan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, semalam.

Beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tan Sri Dr Azmi Rohani yang dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara pada 1 Julai lepas. 

Asman Shah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun, sebelum ini pernah menyandang jawatan seperti Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor, serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442585