AM

NWT Kesuma Beri Manfaat Kepada 50,000 Rakyat Terengganu

17/06/2025 06:35 PM

CHUKAI, 17 Jun (Bernama) -- Seramai 50,000 rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, belia, siswazah dan golongan pekerja di Terengganu mendapat manfaat daripada program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025.

Ketua Wilayah Operasi Serantau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) Muhamad Hafez Kamaruddin berkata jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu 30,000 peserta yang dilatih dalam pelbagai bidang dan kursus.

Beliau berkata objektif utama program yang berlangsung dari 14 hingga 21 Jun itu adalah untuk membuka peluang dan akses masyarakat kepada latihan bagi tujuan pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.

"Untuk tahun ini kita mengadakan kerjasama kukuh dengan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd) bagi penganjuran program.

"NTW adalah inisiatif tambahan daripada HRD Corp, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), di mana kita memberi akses program latihan secara percuma sama ada secara fizikal atau dalam talian kepada rakyat Malaysia tanpa mengenal latar belakang," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Latihan Berimpak Tinggi Sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di EPIC Kemaman Supply Base (KSB), hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat dengan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Bhd Mukhtar Suhaili.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435126