DUNIA

Lima Kad Kredit Utama Dunia Kini Boleh Digunakan Untuk Bayar Tambang Metro Beijing

16/06/2025 03:34 PM

BEIJING, 16 Jun (Bernama-CMG) -- Sistem Transit Rel Perbandaran Beijing kini membolehkan pengguna membayar tambang metro menggunakan kad JCB yang dikeluarkan di luar negara dan kad American Express yang dikeluarkan di dalam dan luar negara bermula Ahad.

Kemudahan baharu itu merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha menaik taraf sistem pembayaran metro, susulan pengenalan sokongan kepada kad kredit MasterCard dan Visa pada September 2024. 

Ia bertujuan memudahkan perjalanan pengguna, khususnya pelancong dan pengunjung asing.

Dengan peluasan ini, Sistem Transit Rel Perbandaran Beijing menjadi sistem transit bandar pertama di dunia yang menyokong pembayaran tambang menggunakan lima kad kredit utama dunia – China UnionPay, MasterCard, Visa, JCB dan American Express.

Penaiktarafan perkhidmatan itu meliputi keseluruhan rangkaian Metro Beijing merangkumi 29 laluan, 523 stesen serta laluan S2 di kawasan pinggir bandar.

Semua pintu masuk dan keluar di rangkaian metro ini kini menyokong pembayaran tanpa sentuh menggunakan kelima-lima kad kredit berkenaan sepanjang waktu operasi.

Pengguna tidak perlu menempah tiket atau memuat turun aplikasi tambahan dan hanya perlu mengimbas kad kredit terus di pintu masuk dan keluar untuk mendapat akses serta-merta.

Sejak sistem pembayaran tambang menggunakan kad kredit asing diperkenalkan di tanah besar China pada 13 Sept 2024, Metro Beijing menerima transaksi kad kredit dari lebih 130 negara dan wilayah tanpa sebarang aduan sehingga kini.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2434653