Oleh Mohd Noor Azeery Idris
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Pengeluar makanan sejuk beku, Arisprop Capital Bhd merancang untuk membawa jenama Aris Burger menembusi pasaran China menjelang 2027 sebagai sebahagian daripada strategi peluasan global syarikat.
Pengarah Urusannya, Datuk Haris Embong berkata tumpuan utama syarikat ketika ini adalah memperkukuh asas perniagaan dalam pasaran tempatan, termasuk rantaian bekalan, kualiti produk dan proses operasi sebelum melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Kita mahu memasarkan produk ke luar negara, berkemungkinan ke China pada 2027 atau lebih awal. Bagaimanapun, saya mahu mengukuhkan dahulu asas domestik kerana permintaan adalah sangat tinggi,” katanya dalam program Bual Bisnes terbitan Bernama TV disiarkan pada Sabtu.
Beliau berkata syarikat turut merancang untuk mengadakan lawatan perniagaan ke China sebagai langkah awal menjalin kerjasama eksport bagi menyokong peluasan pasaran ke negara tersebut.
Selain China, katanya produk halal Malaysia turut menarik minat banyak negara lain, termasuk Timur Tengah, Jepun dan Indonesia.
Bagi memperkukuh barisan produknya, katanya syarikat kini berada dalam fasa akhir pembangunan burger sedia dimakan (RTE) yang dijangka menjadi produk pertama seumpamanya di Malaysia.
“Burger sedia dimakan ini adalah hasil kajian dan inovasi Arisprop serta kita menjangka ia bakal mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan,” katanya.
Semua produk Aris Burger telah mendapat pensijilan dan kelulusan yang diperlukan daripada agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, menjadikan syarikat bersedia untuk bersaing di peringkat global.
-- BERNAMA