DUNIA

Pengimportan Buah-buahan Tropika Semakin Rancak Susulan Operasi Ekspres Lancang-Mekong

16/06/2025 02:57 PM

BEIJING, 16 Jun (Bernama-CMG)-- Data Kastam China menunjukkan bahawa dari Januari hingga April tahun ini, jumlah kumulatif import durian melalui Laluan Kereta Api China-Laos telah melebihi 100,000 tan, manakala purata  import harian import melebihi 2,000 tan.

Peningkatan pengimportan itu tidak terlepas daripada penghasilan durian di timur Thailand yang melambung lebih daripada 30 peratus, dan kerancakan pemain industri durian dari Vietnam dan Malaysia.

Memandangkan durian mempunyai kriteria tinggi dari segi had masa pengangkutan dan kesegaran, Kumpulan China Railway Kunming telah menambahkan perkhidmatan Ekspres Lancang-Mekong bagi logistik sejuk beku daripada dua kepada empat perjalanan sehari.

Dengan itu, masa pengangkutan untuk pelbagai buah-buahan tropika terutama import dari Asia Tenggara boleh dipendekkan daripada tujuh  hari melalui jalan raya kepada hanya 26 jam melalui landasan kereta api.

Susulan operasi Ekspres Lancang-Mekong, kos pengangkutan buah-buahan yang diimport dari Asia Tenggara berkurangan sebanyak 60 peratus berbanding pengangkutan melalui jalan raya, harga jualan di pasar turun purata 30 peratus, manakala kekerapan menambahkan bekalan durian di kedai buah-buahan di pelbagai bandar raya seperti Beijing dan Shanghai ditingkatkan daripada dua  kali seminggu kepada sekali sehari.

Sejak Mei tahun ini yang merupakan musim menuai buah-buahan di kawasan tropika seperti durian, manggis, longan dan mangga, jumlah pengangkutan buah-buahan tropika melalui Laluan Kereta Api China-Laos telah melebihi 63,000 tan, yang dilihat betul-betul menambah pilihan kepada pasaran buah-buahan domestik.

--BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2434627