LUMUT, 15 Jun (Bernama) -- Lumut Waterfront yang sebelum ini digambarkan penduduk setempat sebagai sunyi kembali meriah dan menjadi tumpuan ramai sepanjang berlangsungnya Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak selama tiga hari bermula Jumaat.
Peniaga Mohd Faizal Che Tan, 50, berkata PMR 2025 Perak yang berakhir hari ini berjaya menarik ramai pelancong tempatan untuk mengenali semula bandar persisiran pantai yang terkenal dengan ikan bilis mata biru itu.
“Program ini bagus sebab ia kembali memeriahkan semula tempat pelancongan di sini, sebab kawasan ini memang terkenal dengan ikan bilis mata biru, jadi dengan adanya program seperti ini ia dapat menarik kembali pelancong.
“Saya harap selepas ini pelancong tempatan dan luar akan terus mengunjungi Lumut dan menjadikan kawasan di sini kembali hidup dan meriah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja di sebuah kedai hasil laut berdekatan, Afif Isyraf Izuwan Shah, 20, berkata kebanyakan pengunjung yang datang ke PMR akan singgah di kedainya dan membeli beberapa hasil laut seperti ikan bilis, ikan masin dan lain-lain produk.
“Alhamdulillah, sejak ada acara ini ramai yang datang terutama dalam kalangan kakitangan kementerian dan agensi kerajaan. Jadi apabila mereka berbelanja, hasil jualan pun bertambah sedikit.
“PMR juga secara tidak langsung menjadi platform kepada peniaga untuk mempromosikan produk hasil laut seperti keropok ikan, sate ikan dan sambal ikan bilis yang dibuat usahawan tempatan,” katanya.
PMR 2025 Perak di Lumut Waterfront melibatkan lebih 200 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan dengan 36 reruai telah menerima kedatangan pengunjung lebih 200,000 orang sepanjang tiga hari program berlangsung.
Perak merupakan lokasi kedua penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju.
-- BERNAMA