KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu menyesuaikan dasarnya, mempunyai institusi kukuh dan mengekalkan hala tuju jelas untuk mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerangka Ekonomi MADANI mencerminkan visi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan menggambarkan komitmen dua hala.
“Pertama, dasar perindustrian perlu dimodenkan, menumpukan kepada daya saing sektoral, transformasi digital, pertumbuhan hijau dan peningkatan rantaian nilai.
“Kedua, manfaat daripada pengembangan ekonomi perlu menyeluruh terutamanya bagi segmen masyarakat rentan dan kurang mendapat perhatian,” kata beliau dalam ucaptama di Simposium Sasana 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata agenda reformasi MADANI mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara memandangkan negara mengutamakan lima bidang kritikal iaitu kemampanan dan tadbir urus fiskal, rasionalisasi subsidi, pembaharuan cukai, peningkatan modal insan dan integriti institusi.
Menurut Anwar rasionalisasi subsidi adalah bersasar dan bukan menyeluruh bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, beliau berkata pembaharuan cukai adalah satu keperluan untuk mengembangkan asas hasil, menambah baik penguatkuasaan dan menangani ketirisan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan dan sektor swasta perlu melaksanakan misi untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kita berbangga kerana mampu menarik pelaburan asing, teknologi baharu dan kecerdasan buatan -- daripada Infineon kepada Nvidia, Google dan AMD. Namun, kita juga perlu meningkatkan pendapatan dan bakat melalui peningkatan kemahiran digital termasuk pembaharuan dalam pasaran buruh,” kata beliau.
Anwar berkata di peringkat serantau, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini mengesahkan keperluan untuk meneruskan integrasi ekonomi yang lebih mendalam, berteraskan pertumbuhan inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk memperteguh perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta bekerjasama erat dengan negara lain.
“Kita terus bergantung kepada Amerika Syarikat dalam pelaburan dan perdagangan. Kita juga meningkatkan hubungan dengan China dan negara-negara lain di rantau ini.
“Kita turut bekerjasama erat untuk memastikan Perjanjian Perdagangan Bebas antara Kesatuan Eropah dengan Malaysia dan ASEAN akan berjaya,” kata beliau.
Anwar turut menekankan bahawa transformasi digital adalah tunjang utama kesediaan ekonomi negara, dipandu oleh dasar negara seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital, Rangka Tindakan Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal.
“Kerangka ini bersama-sama meletakkan asas bagi ekonomi yang tangkas, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Pada simposium itu, Anwar turut melancarkan Hab Inovasi Aset Digital secara rasmi, yang menyasarkan untuk merangsang inovasi kewangan dalam persekitaran yang terkawal untuk pemohon mencuba idea baharu dan memberikan input untuk memperhalusi rangka kerja pengawalseliaan dan keselamatan.
-- BERNAMA