AM

Kuala Lumpur Perlu Dibangunkan Secara Seimbang Dan Insklusif - Dr Zaliha

17/06/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pembangunan fizikal di ibu negara perlu dirancang secara seimbang dengan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan penduduk merentasi semua lapisan generasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata pertumbuhan pesat Kuala Lumpur perlu disertai dengan keupayaan sistem pendidikan, kemudahan asas dan sokongan terhadap struktur komuniti setempat agar bandar raya ini kekal kondusif dan sesuai untuk didiami.

“Tidak boleh tidak, pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur akan terus bercambah, namun keperluan menyelaraskan kelulusan pembangunan dengan kesediaan infrastruktur sokongan seperti sekolah, klinik, jaringan jalanan, tekanan kepada pengangkutan awam serta ruang hijau perlu dipertimbangkan seawal peringkat perancangan lagi,” katanya dalam hantaran melalui Facebook hari ini. 

Terdahulu, Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah, iaitu platform libat urus antara beliau dan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur bersama agensi seperti Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan PLANMalaysia, bagi membincangkan dasar pembangunan di ibu kota.

Menurut beliau pendekatan terasing antara pemaju dan pihak berkuasa tempatan perlu digantikan dengan perancangan menyeluruh yang menjurus kepada keadilan sosial, keberdayaan komuniti serta keseimbangan antara generasi demi kelestarian jangka panjang.

“Saya juga menegaskan bahawa penglibatan Ahli Parlimen dalam isu pembangunan perlu lebih pragmatik dengan mengambil kira data, impak jangka panjang dan kesediaan persekitaran, bukannya semata-mata berdasarkan persepsi atau pendekatan populis yang akhirnya boleh menjejaskan penyesuaian dasar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha memaklumkan bahawa beliau turut menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing hari ini bagi memperkukuh kerjasama strategik sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan.

Perbincangan antara kedua-dua menteri itu tertumpu kepada usaha melonjakkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai destinasi utama pelancongan negara, masing-masing dengan keunikan tersendiri.

Untuk rekod, sektor pelancongan menyumbang lebih RM90 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan mewujudkan 3.6 juta peluang pekerjaan, iaitu hampir 23 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga negara.

Justeru, memperkasa pelancongan di Wilayah Persekutuan merupakan langkah strategik dalam memperluas ekonomi rakyat secara inklusif dan berdaya tahan,” kata Dr Zaliha.

Beliau turut menjemput Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk bersama-sama mempromosikan Borneo Flora Festival yang akan dianjurkan di Labuan buat pertama kalinya, dengan sasaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Selain itu, Perbadanan Putrajaya dan Tourism Malaysia juga diminta memperhalusi pembangunan produk pelancongan baharu yang lebih kreatif di Putrajaya untuk memanjangkan tempoh penginapan pelancong dan menawarkan pengalaman yang segar serta unik, sekali gus menggalakkan kehadiran semula pelancong.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2435143